Ketika malam
yang hening, aku terus diselimuti dengan seraut kerinduan terhadap rakan-rakan
seperjuangan di UTHM. Kini semua mula mengorak langkah untuk membina sebuah
kehidupan yang diidamkan . Aku masih disini, masih mencari erti sebuah
kehidupan yang sebenar. Teratak ayah bonda menjadi saksi kehidupan aku
seharian. Aku masih lagi dengan pelajar-pelajar spm bagi mengharungi saki-baki
perjuangan peperiksaan spm. Namun kesibukan aku bersama
pelajar-pelajar tidak menghalang aku untuk memutarkan kembali pita-pita
memoriku di layar kenangan. Terpesil suka dan duka dalam timbunan kenangan.
Rakan-rakan yang banyak mencicip manis gelak tawa telah berkali-kali menampar
dinding ingatanku sejak kebelakangan ini. Terasa rindu yang teramat kuatnya.
Memori kenangan telah banyak diukir dan dipahat dengan keindahan sewaktu zaman
universiti dahulu.
Masa terus
meluru ke arah kemodenan. Aplikasi whatsapp terus menjadi penghubung utama
pada abad ini. Dek aplikasi ini, ikatan tali persahabatan kami masih lagi erat
diikat dengan nilai persahabatan yang tiada bandingnya. Gurauan senda selalu
memenuhi applikasi whatsapp setiap hari. Bila lah kami semua dapat berkumpul
beramai-ramai seperti di universiti dahulu. Masing-masing sibuk mencorak
kehidupan sendiri. Masa untuk bersama-sama tidak sekaya dahulu. Masa terus
dihimpit kemiskinan dek kesibukan membina kerjaya dan mencari rezeki.
Semua dihambat untuk mengerti keadaan ini.
Kadang-kala,
rakan-rakan pernah menjiwai sebagai watak utama dalam lakonan filem
mimpiku. Tidak kurangnya watak sampingan yang selalu mengetuk pintu
kerinduanku. Pernah terpesil kerinduan dalam relung hatiku yang begitu
mendalam, hingga terkadang aku ingin terus melukis kembali lukisan kenangan
bersama rakan-rakan dengan warna-warna yang terindah. Namun pujukan bisu hatiku
serba sedikit mampu mengubat kepiluan ini. Masa akan terus menaiki
tangga-tangga kehidupan. Masa tidak akan pernah terjatuh walau satu anak
tangga. Melainkan manusia pasti akan terjatuh beribu-ribu anak tangga dek
ditolak dengan kelekaan duniawi.
Gambar pengakhiran yang paling epic
Coretan ini
pasti menjadi ‘panadol’ bagiku untuk menyembuh sedikit demi sedikit demam
kerinduan ini. Namun ‘panadol’ ini sepertinya tidak berhasil kerana demam
kerinduan ini begitu melarat. Coretan ini aku jadikan sebagai utusan rindu
kepada rakan-rakan yang berada di seluruh pelusuk bumi. Semoga kita semua
berjaya berenang mengharungi lautan kehidupan yang begitu luas ini. Jika ada
yang terkapai-kapai kelemasan mintalah pertolongan dari Allah dan
insyaAllah aku ada untuk kamu semua. Semoga aku dan rakan-rakanku dapat
mengecapi segala impian yang diidamkan. Aku doakan semoga kita semua berjaya di
dunia dan di akhirat serta selalu diredhai oleh Allah SWT. Assalamualaikum.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan