Selasa, 24 Mei 2016

Seraut Rindu

Ketika malam yang hening, aku terus diselimuti dengan seraut kerinduan terhadap rakan-rakan seperjuangan di UTHM. Kini semua mula mengorak langkah untuk membina sebuah kehidupan yang diidamkan . Aku masih disini, masih mencari erti sebuah kehidupan yang sebenar. Teratak ayah bonda menjadi saksi kehidupan aku seharian. Aku masih lagi dengan pelajar-pelajar spm bagi mengharungi saki-baki perjuangan peperiksaan spm. Namun kesibukan aku bersama pelajar-pelajar tidak menghalang aku untuk memutarkan kembali pita-pita memoriku di layar kenangan. Terpesil suka dan duka dalam timbunan kenangan. Rakan-rakan yang banyak mencicip manis gelak tawa telah berkali-kali menampar dinding ingatanku sejak kebelakangan ini. Terasa rindu yang teramat kuatnya. Memori kenangan telah banyak diukir dan dipahat dengan keindahan sewaktu zaman universiti dahulu.

Masa terus meluru ke arah kemodenan. Aplikasi whatsapp terus menjadi penghubung utama pada abad ini. Dek aplikasi ini, ikatan tali persahabatan kami masih lagi erat diikat dengan nilai persahabatan yang tiada bandingnya. Gurauan senda selalu memenuhi applikasi whatsapp setiap hari. Bila lah kami semua dapat berkumpul beramai-ramai seperti di universiti dahulu. Masing-masing sibuk mencorak kehidupan sendiri. Masa untuk bersama-sama tidak sekaya dahulu. Masa terus dihimpit kemiskinan dek kesibukan membina kerjaya dan mencari rezeki. Semua dihambat untuk mengerti keadaan ini.

Kadang-kala, rakan-rakan pernah menjiwai sebagai watak utama dalam lakonan filem mimpiku. Tidak kurangnya watak sampingan yang selalu mengetuk pintu kerinduanku. Pernah terpesil kerinduan dalam relung hatiku yang begitu mendalam, hingga terkadang aku ingin terus melukis kembali lukisan kenangan bersama rakan-rakan dengan warna-warna yang terindah. Namun pujukan bisu hatiku serba sedikit mampu mengubat kepiluan ini. Masa akan terus menaiki tangga-tangga kehidupan. Masa tidak akan pernah terjatuh walau satu anak tangga. Melainkan manusia pasti akan terjatuh beribu-ribu anak tangga dek ditolak dengan kelekaan duniawi.


Gambar pengakhiran yang paling epic

Coretan ini pasti menjadi ‘panadol’ bagiku untuk menyembuh sedikit demi sedikit demam kerinduan ini. Namun ‘panadol’ ini sepertinya tidak berhasil kerana demam kerinduan ini begitu melarat. Coretan ini aku jadikan sebagai utusan rindu kepada rakan-rakan yang berada di seluruh pelusuk bumi. Semoga kita semua berjaya berenang mengharungi lautan kehidupan yang begitu luas ini. Jika ada yang terkapai-kapai kelemasan mintalah pertolongan dari Allah dan insyaAllah aku ada untuk kamu semua. Semoga aku dan rakan-rakanku dapat mengecapi segala impian yang diidamkan. Aku doakan semoga kita semua berjaya di dunia dan di akhirat serta selalu diredhai oleh Allah SWT. Assalamualaikum.


Selasa, 16 Disember 2014

Final Year Project Punya Cerita

Desir angin berbisik menyampaikan salam, deruan angin yang meluru masuk menyapa tubuh terasa dinginnya, dingin malam terasa hingga sampai ke tulang, pintu rumah sewa yang terbuka masih tidak malu-malu untuk menyambut tetamu. Walaupun jam sudah menjengah 2.50 pagi, namun perbincangan hebat sahabat-sahabat yang tidak meghiraukan kelewatan malam memecahkan kesepian malam. Namun, aku masih dihadapan laptop dengan mengarang ayat-ayat diblog bagi menghilangkan kebosanan. Padahal bertimbun-timbun kerja tidak terkira, nasiblah beban fyp dibahuku yang hampir merebahkan badanku sudah ku hempaskan dengan jayanya.

Menceritakan sebelum perbentangan hari itu, aku tidak tidur malam untuk membuat persediaan untuk perbentangan fyp 1. Berkali-kali aku berlatih sendirian membuat perbentangan. Hampir letih kaki aku berdiri menyampaikan perbentangan dihadapan cermin. Hanya nyanyian cengkerik yang bersahutan menemani aku pada malam itu. Nyanyian itu seakan-akan memberi komen ke atas perbentangan aku pada malam itu. Keyakinan semakin menebal setelah berkali-kali berlatih membuat presentation. Namun getaran masih bersisa dek kerana memikirkan lontaran soalan yang bakal dilontarkan. Segala persiapan sudah aku siapkan dengan rapinya. Denyutan jantung pada waktu itu bagaikan melukiskan gelora yang bakal ditempuhi. Hanya tarikan nafas yang lembut dan lama mampu menghilangkan resah yang mengayut dijiwa. Sesampai dibilik perbentangan, pintu ku buka untuk memasuki bilik sambil presentation untuk pelajar pertama berlangsung. Berkumat-kamit mulutku membaca segala doa yang dipesan oleh ibuku sambil melihat isi-isi penting yang aku telah gariskan untuk membuat perbentangan.

Setelah beberapa minit kemudian, tiba giliranku mempersonakan kedua-dua panel dengan ayat-ayat manis. Ayat pertamaku sudah membuat semua mata memandangkanku. Namun, perbentangan aku tidak segah manapun, tapi buat yang terbaik sudah memadai untuk diriku. Alhamdulillah, segala soalan dapat aku titipkan isi-isi penting pada jawapan dengan baiknya. Berkali-kali ucapan syukur ke hadrat Ilahi menghiasi bibir setelah perbentangan berjalan dengan lancar. Handsetku dicapai bagi berkongsi kegembiraan kepada ibu abahku. Wassap juga menunggu giliran untuk masuk daripada adik beradiku untuk bertanya tentang perbentanganku. Kegembiraannya mampu menghilangkan seksaan jiwa yang tertanggung selama ini. Bak kata member aku, "terasa macam dah grad". Hahaha. padahal fyp 2 menunggu kami pada sem depan. Tapi, kegembiraan fyp 1 ini tidak lama sebenarnya, hanya bertahan untuk satu bulan. Banyak lagi kerja yang harusku siapkan untuk fyp 2 ini.


Lama juga aku mengarang ayat diblog ini, sedar tidak sedar sudah sejam aku menaip menceritakan pengalaman untuk presentation fyp 1 aku. Alangkah bagusnya, kalau aku dapat mengarang ayat untuk report fyp 1 selaju ini. Tapi itu ibarat mimpi Liverpool bakal memenangi premier league untuk musim ini lah. Hahaha. Pedih dengan kemenangan 3-0 MU ke atas liverpool semalam. Kekecewaan yang diratapi oleh penyokong liverpool semalam disambut dengan kegembiraan penyokong MU dimana ia disambut seperti sudah memenangi liga. Hahaha. Kegembiraan ini jelas terpancar pada raut muka member-memberku yang menyokong MU. Lebih-lebih lagi tokwan, suka sangat. Tokwan ini siapa tak kenal, terkenal dengan sikapnya yang suka membahan orang. Kaw2 penyokong liverpool seperti syahid, imran dan aku dibahannya. Tak ape lah, bagilah dia gembira untuk musim ini, mana tidaknya semua penyokong MU dilanda kemurungan pada musim lepas setelah kejatuhan teruk yang dialami pasukan MU. Hahaha.


Mataku masih lagi cerah untuk menemani kesunyian malam dek kerana 3 jam sudah aku tidur malam tadi. Tetapi sebelum penghabisan pintu rumah sewaku sudah rapat ditutupi sambil semua housemateku sudah bersedia untuk tidur. Setakat ini dahulu yang aku mampu ceritakan pengalaman untuk perbentangan fyp 1 yang telah aku lalui.

Assalamualaikum